Yuran taska naik
PTNS akan menaikkan harga yuran perkhidmatan penjagaan bayi dan kanak-kanak dalam tempoh terdekat.
SHAH ALAM - Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS) memutuskan untuk  menaikkan yuran perkhidmatan penjagaan bayi dan kanak-kanak kepada RM300 untuk setiap orang dalam tempoh terdekat.

Presiden, Mahanom Basri berkata, kenaikan itu melibatkan yuran bagi semua peringkat usia, daripada bayi sehingga berumur empat tahun di setiap daerah di negeri itu, bagaimanapun, ia boleh dirunding atas budi bicara pengusaha taska berkenaan.

Katanya, ia berikutan peningkatan kos operasi taska yang terpaksa ditanggung pengusaha termasuk untuk melaksanakan gaji minimum sebanyak RM900 kepada kakitangan mereka seperti disarankan kerajaan.

"Perkara ini diputuskan selepas mendapat persetujuan semua pengusaha taska di Selangor.

"Ini kerana, kos barang termasuk peralatan permainan dan utiliti meningkat pada masa kini," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha taska, di sini, semalam.

Beliau menegaskan, walaupun yuran itu dinaikkan, namun pihaknya meminta pengusaha supaya menambah aktiviti yang dijalankan di taska berkenaan seperti spa bayi dan mempelbagaikan program pembelajaran.

Berhubung pelaksanaan gaji minimum, Mahanom berkata, pihaknya sudah menghantar satu memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia untuk berbincang berhubung perkara itu.

"Kami berhasrat untuk tangguhkan dulu gaji minimum ini kerana pengusaha bakal berdepan kos operasi tinggi sekiranya yuran perkhidmatan penjagaan kanak-kanan tidak dinaikkan," katanya.

Lebih 80 pengusaha taska dari seluruh daerah di Selangor menghadiri sesi pertemuan itu bagi membincangkan perkara itu.